Friday, 15 September 2017

MENGATASI MASALAH PENGANGGURAN

1. FAKTOR MENYEBABKAN BERLAKUNYA PENGANGGURAN

i) Kegawatan ekonomi meningkatkan pengangguran siswazah.

· Kegawatan ekonomi yang melanda pada tahun 1997 menjejaskan hampir kesemua kegiatan ekonomi negara kita.
· Pengenalan operasi dan produk serta penutupan kilang dan syarikat menyekat peluang pekerjaan untuk para graduan.
· Banyak syarikat diambil alih dan dimodali semula menyebabkan pekerjanya dihentikan atau dibuang kerja.


ii) Masalah kerelevanan kursus yang diikuti di university

· Kebanyakan kursus yang ditawarkan oleh pihak universiti tidak sesuai mengikut kehendak pasaran kerja.
· Syarikat memerlukan latihan yang dapat diamalkan dan bukan terlalu berorientasikan teori semata-mata.
· Graduan untuk bidang sastera terlalu ramai berbanding bidang yang diperlukan seperti bidang sains, teknologi ,kejuruteraan dan perubatan.


iii) Terlalu Ramai graduan yang dihasilkan setiap tahun
· Universiti tempatan dan institusi pengajian tinggi swasta mementingkan kuantiti   berbanding kualiti. Contohnya, tidak kurang 150000 graduan dilahirkan setiap tahun.
· Pengeluaran graduan melebihi permintaan dari segi pekerjaan.


iv) Masalah sikap graduan yang terlalu memilih kerja

· Sikap graduan yang terlalu memilih merupakan punca utama ramai graduan masih menganggur .
· Kebanyakan graduan memilih dan mengharapkan pekerjaan kolar putih yang menawarkan pendapatan tinggi.
· Ada juga graduan yang masih mengamalkan paradigma lama, iaitu hanya mahu makan gaji dan tidak mahu berdikari





2. JENIS PENGANGGURAN 

a.      Pengangguran geseran atau normal.
Pengangguran ini berlaku untuk sementara waktu sahaja.
Pekerja tidak puas hati dengan pekerjaan sekarang dan
sedang berusaha untuk mencari pekerjaan lain yang lebih baik.
Pengangguran geseran atau normal berlaku apabila pekerja berhenti kerja dan mencari pekerjaan tetapi tidak menjumpainya serta merta dan ketika itu mereka dikira sebagai penganggur. Friksional ini merujuk kepada ketaksesuaian di antara permintaan dan bekalan buruh.

b.      Pengangguran struktur.
Pengangguran ini berlaku disebabkan perubahan struktur ekonomi dalam sesebuah negara. Pada masa dahulu sektor pertanian memainkan peranan penting dalam menyediakan peluang pekerjaan yang banyak kepada tenaga buruh. Dengan perkembangan sektor industri dan pembinaan, penyumbang terbesar dalam penyediaan peluang pekerjaan telah beralih ke sektor tersebut. Oleh kerana sebilangan tenaga buruh tidak mempunyai kelayakan dan kemahiran maka berlakulah pengangguran. Perubahan sektor ini juga berlaku kerana kurangnya penawaran dari sektor pertanian atau terdapat kekurangan permintaan terhadap keluarannya. Kekurangan permintaan ini adalah disebabkan berlakunya peningkatan kos pengeluaran, persaingan, terdapatnya keluaran baru dalam pasaran dan sebagainya.  

c.       Pengangguran kitaran atau edaran.
Pengangguran ini berlaku apabila terdapatnya kemelesetan teruk dalam permintaan agregat. Pengurangan permintaan agregat ini akan mengurangkan pengeluaran dan seterusnya akan mengurangkan penggunaan tenaga buruh oleh pengeluar. Kemerosotan permintaan agregat yang disebabkan oleh kemelesetan ekonomi dan berlakunya inflasi akan menyebabkan kuasa beli isi rumah merosot.  

d.      Pengangguran teknologi.
Pengangguran teknologi berlaku apabila penggunaan tenaga buruh dalam proses pengeluaran telah diambil alih oleh mesin dan robot. Ini disebabkan berlakunya perkembangan teknologi yang telah berjaya mencipta alatan yang lebih baik untuk meningkatkan pengeluaran dengan kos pengeluaran yang semakin berkurangan. Pembangunan teknologi misalnya menyebabkan keperluan kemahiran baru dalam banyak industri, menyebabkan mereka yang tidak mengemaskini kemahiran mereka kehilangan pekerjaan. Dan kilang dalam industri yang merosot akan tutup yang menyebabkan pekerja mereka hilang pekerjaan.  

e.       Pengangguran tersembunyi atau tidak ketara .
Pengangguran ini berlaku apabila terdapatnya lebihan penggunaan tenaga buruh dalam sesuatu ekonomi. Pengangguran ini kebanyakkannya berlaku dalam sektor pertanian. Kehadiran tenaga buruh yang berlebihan ini tidak akan menambahkan pengeluaran dan ketiadaan tenaga buruh ini juga tidak akan menjejaskan pengeluaran





3. Langkah-langkah mengatasi isu pengangguran

Kegawatan ekonomi menyebabkan jumlah penganggur di negara ini meningkat dengan begitu ketara sekali sehingga menimbulkan kebimbangan semua pihak. Jumlah penganggur yang tinggi membuktikan kegagalan pihak kerajaan untuk mengatasi kemelut yang melanda ekonomi negara kerana terlalu bergantung kepada perkembangan ekonomi negara luar seperti Amerika Syarikat. Pihak media massa turut menyiarkan program yang menceritakan pengalaman penganggur untuk berjaya dalam hidup menjadi bukti bahawa polemik pengangguran di negara ini mula menjadi isu politik juga. Sebenarnya, ada banyak langkah yang boleh diambil oleh pelbagai pihak untuk mengatasi masalah pengangguran ini jika mereka mahu bertindak.

Langkah awal ialah kerajaan harus memberikan bantuan kewangan yang mampu memberi rangsangan kepada ekonomi untuk berkembang dengan pesat. Bantuan kewangan ini perlulah besar yakni menelan berbilion ringgit supaya lebih banyak projek pembangunan dijalankan secara serentak. Apabila semua projek pembangunan dijalankan serentak sudah pasti jumlah pekerja yang diperlukan ramai dan semua orang berpeluang untuk bekerja. Pakej kewangan ini hendaklah diuruskan oleh kerajaan dengan bijak melalui pemilihan projek ekonomi yang boleh mencambahkan lebih banyak aktiviti ekonomi sampingan seperti ekonomi berasaskan teknologi dan penyelidikan tinggi. Jelaslah, ekonomi negara akan pesat membangun jika kerajaan menyediakan pakej bantuan kewangan yang banyak untuk mewujudkan peluang pekerjaan.

Pakej kewangan yang besar ini boleh diikuti dengan pengenalan pelbagai insentif baru kepada ahli-ahli perniagaan terutama pembinaan lebih banyak kawasan industri dan pemberian bebas cukai kepada industri yang tidak membuang pekerjanya. Pelbagai insentif ini mampu menguatkan semangat kepada ahli perniagaan untuk mencuba melakukan sesuatu yang baru dalam perniagaannya dan juga mengharungi cabaran kegawatan ekonomi dengan lebih terbuka dan rasional kerana menyedari bahawa pihak kerajaan berusaha untuk menyelamatkan mereka juga. Semua idea baru yang diperkenalkan sudah pasti mampu memberikan suntikan kepada ahli perniagaan untuk meneruskan kerja mereka tanpa perlu membuang pekerja sebaliknya mereka mungkin memerlukan lebih ramai pekerja untuk mengambil kesempatan yang wujud itu. Maka, kerajaan perlu memberikan idea-idea baru yang mampu memudahkan ahli perniagaan untuk menjalankan peranan mereka dengan lebih efektif.

Selain itu, usaha untuk memperkenalkan negara harus ditingkatkan oleh kerajaan menerusi pameran dan kunjungan rombongan ekonomi ke negara-negara lain. Lawatan sebegini menyebabkan lebih banyak negara luar menyedari kelebihan dan kepentingan mendirikan perniagaan di Malaysia berdasarkan maklumat yang tepat diperoleh daripada ahli-ahli rombongan ini. Kemasukan lebih banyak model asing ke negara ini sudah pasti mampu menjana lebih banyak aktiviti ekonomi bersama-sama dengan pakej ekonomi yang sebelum ini ditawarkan oleh kerajaan untuk mengatasi masalah ekonomi. Hal ini membuktikan bahawa usaha memperkenalkan negara ke mata dunia amat penting terutama jika semua rombongan ini digunakan dengan sebaik mungkin dan tidak hanya sebagai satu lawatan sahaja.

Pihak swasta pula terutama ahli perniagaan turut mempunyai peranan tersendiri yakni mereka perlu sanggup berkorban ketika negara mengalami masalah kegawatan ekonomi ini. Pengorbanan mereka itu boleh dijelmakan dalam bentuk mengurangkan gaji atau ganjaran buat mereka dalam bentuk bonus dan sebagainya supaya wang itu boleh digunakan untuk memastikan syarikat terus wujud lalu tidak membuang pekerja yang boleh menambahkan jumlah pengangguran. Kehidupan mereka yang sudah lama hidup mewah perlu dikorbankan demi kemajuan negara pada masa hadapan kerana jika mereka masih mengaut keuntungan menerusi gaji dan bonus yang tinggi sudah pasti syarikat mereka akan kekurangan sumber kewangan untuk mengharungi zaman kemelesetan ini. Oleh itu, pihak swasta harus juga memikirkan orang lain dan tidak hanya mamu menyelamatkan diri mereka sahaja dalam kegawatan sebegini.

Manakala pihak individu pula harus lebih positif mengharungi kegawatan ekonomi ini dengan cuba meningkatkan lagi kemahiran diri mereka seperti menyambung belajar, mengambil kursus jangka pendek dan meningkatkan prestasi diri. Sikap suka meningkatkan kebolehan diri memastikan seseorang pekerja itu terus dihargai oleh syarikat dan kemungkinan untuk dibuang kerja amat tipis. Malah, jika mereka dibuang kerja pun, golongan yang positif seperti ini akan mudah menerima kerja baru kerana mereka memiliki kemahiran lain yang sudah pasti diperlukan oleh syarikat lain pula atau mungkin mereka boleh bekerja sendiri berdasarkan pengalaman mereka sebelum ini. Lantaran itu, semua orang harus melihat pendidikan sebagai satu proses jangka masa panjang dalam hidup seseorang itu dan tidak menganggap pelajaran tamat selepas meninggalkan bangku sekolah sahaja.

Kesimpulannya, masalah pengangguran ini memang boleh mencetuskan ketidakstabilan jika negara gagal mengawalnya dengan baik berdasarkan pengalaman negara-negara jiran kita terutama di Indonesia. Pihak kerajaan bersama-sama swasta perlu menyedari betapa pentingnya sikap bekerjasama untuk memulihkan ekonomi negara dalam masa yang terdekat ini. Tanpa kerjasama masalah ekonomi akan terus wujud lalu menimbulkan banyak masalah kepada rakyat untuk mencari peluang kerja yang baik terutama golongan muda yang baru sahaja keluar dari sekolah.





4. MASALAH PENGANGGURAN

Pengangguran merupakan salah satu masalah yang sering di hadapi sama ada negara maju mahupun negara yang sedang membangun dan miskin. Masalah pengangguran biasanya disebabkan oleh keadaan ekonomi yang sedang mengalami kemelesetan dan juga perubahan dari skim yang digunakan oleh firma iaitu perubahan dari skim berinsentifkan buruh kepada skim berinsentifkan teknologi dan modal. Pengangguran berlaku apabila seseorang yang boleh bekerja dan mahu bekerja tetapi tidak dapat mendapat pekerjaan. Mereka ini digolongkan dalam tenaga buruh sesebuah negara, iaitu mereka yang berumur 16 ke 64 tahun dan sanggup bekerja. Dalam masyarakat di mana kebanyakan orang boleh mencari nafkah dengan bekerja dengan orang lain, pengangguran adalah masalah serius. Kesan negatifnya termasuk kehilangan, perasaan ditolak dan kegagalan peribadi, dan kerana itu pengangguran digunakan secara secara meluas untuk mengukur kebajikan pekerja. Kadar pekerja yang menganggur juga menunjukkan tahap kecekapan penggunaan sumber manusia sesebuah negara dan menjadi indeks bagi aktiviti ekonomi.

Secara global, isu pengangguran mengikut satu kitaran (cyclical) turun-naik persis seperti ekonomi dunia dan kedua-duanya saling berhubung kait di antara satu sama lain. Pada awal 80-an, kadar pengangguran meningkat akibat resesi (recession) yang melanda dunia ketika itu. Tetapi pada pertengahan 80-an, kadar pengangguran kembali turun, hasil daripada perkembangan (expansion) ekonomi dunia. Kitaran ini berulang lagi apabila dunia mengalami resesi pada awal tahun 90-an dan disusuli dengan perkembangan ekonomi dunia pada pertengahan 90-an. Tentunya kita masih teringat dengan krisis matawang Asia pada akhir tahun 90-an yang mengakibatkan ekonomi Asia jatuh dengan teruknya. Kini, pada awal abad ke-20 ini, kita kembali pula kepada fasa perkembangan ekonomi yang pesat





5. KESAN PENGANGGURAN.

Mengurangkan keluaran negara.
Apabila terdapat ramainya tenaga buruh yang menganggur, maka pengeluaran dari beberapa sektor ekonomi akan berkurangan dan akibatnya keluaran negara bagi negara berkenaan akan berkurangan. Pengangguran tidak menggalakkan pertumbuhan ekonomi. Kadar pengangguran yang tinggi akan menjejaskan prestasi pertumbuhan ekonomi. Pembaziran sumber-sumber pengeluaran menjurus kepada pengeluaran output yang rendah daripada output prestasi.

Menurunkan taraf hidup.
Taraf hidup penduduk di sesebuah negara diukur dengan menggunakan pendapatan per kapita. Apabila terdapatnya ramai tenaga buruh yang menganggur,  maka keluaran negara kasar akan berkurangan dan seterusnya akan mengurangkan
pendapatan per kapita. Apabila pendapatan per kapita rendah,
maka taraf hidup penduduk juga akan rendah. 

Mengurangkan pendapatan negara.
Apabila kadar pengangguran adalah tinggi, maka pendapatan atau
keuntungan pengusaha akan berkurangan. Ini akan mengurangkan jumlah cukai pendapatan dan cukai keuntungan syarikat yang dapat
dipungut oleh kerajaan dan seterusnya akan mengurangkan pendapatan negara. 
Pengangguran menyebabkan buruh kehilangan pekerjaan dan secara tidak
langsung menyebabkan kutipan cukai pendapatan berkurangan.

Melambatkan proses pembangunan negara.
Apabila pendapatan negara berkurangan, maka kerajaan tidak dapat
menyediakan pelbagai kemudahan infrastruktur yang perlu untuk menjana
pertumbuhan ekonomi. Perbelanjaan tersebut terpaksa dikurangkan dan  akan melambatkan proses pembangunan negara. 
Pengangguran yang tinggi menyebabkan ekonomi tidak dapat beroperas pada tahap yang maksimum.

Menambahkan kadar kemiskinan.
Pengangguran yang tinggi kadarnya akan meningkatkan kadar kemiskinan
dalam negara. Kerajaan terpaksa merancang beberapa program untuk
mengatasi masalah kemiskinan. Ini akan menjejaskan usaha kerajaan
untuk memajukan negara. 

                                                           

No comments:

Post a Comment

TEKNOLOGI KRISIS MAKANAN

1 .  FAKTOR YANG MENYUMBANG KEPADA KRISIS MAKANAN Pakar ekonomi dunia berpandangan bahawa masalah pertambahan penduduk di dunia yang ...