Thursday, 14 September 2017

RENCANA BAHASA KEBANGSAAN

Menjana Budaya Ilmu Di Kalangan Mahasiswa

Oleh : Nur Majdah Binti Muhamad Ramly

Matlamat untuk membangunkan modal insan sudah pasti tidak akan tercapai sekiranya pembelajaran di KIAS disalahtafsirkan ataupun hanya dianggap sebagai satu loncatan sahaja yang bertujuan untuk mendapat pekerjaan semata-mata. KIAS perlu menyedari bahawa kemajuan ilmu yang sebenar tersurat menerusi kualiti jiwa, minda, aspirasi, cara hidup dan kemahiran yang dibangunkan dalam diri setiap ahli dalam komuniti akademik, termasuklah graduan. Keagungan sesebuah empayar atau bangsa banyak bergantung pada pencapaiannya di dalam penjanaan modal insan. Pencapaian ini akhirnya menjadi sumbangan tamadun mahasiswa kepada peradaban dunia yang kekal mempengaruhi perjalanan  dunia sejak dulu hingga kini.

Menurut kamus dewan, menjana didefinisikan sebagai menghasilkan, mengadakan, melahirkan atau mengeluarkan. Budaya pula didefinisikan sebagai tamadun atau peradaban. Ilmu pula didefinisikan sebagai pengetahuan, kepandaian dalam perkara dunia, akhirat, zahir, batin dan lain-lain. Budaya ilmu didefinisikan sebagai tamadun ilmu. Budaya merujuk kepada seluruh objek material dan idea-idea kompleks yang digunakan oleh individu di dalam suatu masyarakat untuk menjalankan kehidupan kolektif mereka. Budaya pula terdiri daripada enam unsur iaitu pengetahuan yang terdiri daripada sistem idea yang abstrak, kepercayaan yang terdiri daripada sistem keyakinan yang abstrak, teknologi yang merupakan hasil penggunaan pengetahuan dan kepercayaan dalam kehidupan empiris, bahasa yang terdiri daripada himpunan simbol tertentu yang digunakan untuk berkomunikasi.

Konsep ilmu pula mengikut perspektif barat adalah bersifat unilateral, yang mana terbatas kepada ilmu yang berasaskan kepada alam nyata dan menekankan kepada aspek keduniaan sahaja. Contohnya, ilmu adalah satu rangkaian rangsangan dan gerak balas, manakala mengikut perspektif Islam, ilmu tidak terbatas kepada perkara-perkara zahir di dunia tetapi melibatkan juga perkara yang ghaib. Kamus Dewan mendefinisikan paradigma sebagai lingkungan atau batasan pemikiran seseorang atau sesebuah organisasi pada sesuatu masa yang dipengaruhi oleh pengalaman, pengetahuan, kemahiran dan kesedaran yang ada. Manakala anjakan paradigma merujuk kepada peralihan paradigma daripada satu lingkungan atau batasan kepada sesuatu yang baru dan biasanya sesuatu yang lebih baik. Dalam erti kata lain, paradigma ialah cara kita melihat dunia dari segi persepsi, pemahaman dan tafsiran.

 Di dalam konteks pembelajaran di KIAS sebagai contoh, pelajar-pelajar perlu diterapkan dengan  paradigma yang betul dan tepat. Proses pelaziman yang berlaku dalam kehidupan kita memberi impak dan pengaruh yang kuat dalam membentuk paradigma seseorang. Jika paradigma seumpamanya ini terus kekal dan tiada usaha untuk membentuk paradigma yang baru dibuat, mereka akan terus hanyut kepada pekerjaan meskipun mereka mendapat pekerjaan.

Berdasarkan pendapat ilmuwan, Pensyarah Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra mengatakan budaya ilmu bermaksud mewujudkan satu keadaan yang setiap lapisan masyarakat melibatkan diri, baik secara langsung mahupun tidak langsung, dalam kegiatan keilmuwan dalam setiap kesempatan.

Budaya ilmu juga merujuk kepada mewujudkan satu keadaan yang segala tindakan manusia baik di tahap individu apatah lagi di peringkat masyarakat, diputuskan dan dilaksanakan berdasarkan ilmu pengetahuan sama ada melalui pengkajian mahupun mesyuarat. Dalam budaya ini ilmu dianggap sebagai satu keutamaan tertinggi dalam sistem nilai peribadi dan masyarakat di setiap peringkat.

Tahap pembacaan yang luas dan menyeluruh adalah kayu ukur atau indikator betapa budaya ilmu telah berjaya dilaksanakan atau masih di dalam proses pelaksanaan dalam kalangan mahasiswa. Tahap penguasaan ilmu yang tinggi juga satu batu loncatan ke arah kesedaran keilmuan dan tradisi idealisme yang menuju ke arah yang lebih tinggi.

Seorang yang bergelar mahasiswa perlulah bersifat lebih aktif dan progresif dalam aspek pembudayaan ilmu ini keseluruhannya. Manakan tidak, menyandang gelaran ini membawa seakan sebuah kebanggaan buat diri seorang mahasiswa itu sendiri. Mahasiswa adalah gabungan dua kata iaitu maha dan siswa. Maka seterusnya menjadi sebahagian daripada masyarakat dan bakal berputar lagi kitaran ini pada generasi seterusnya. Mahasiswa KIAS menjadi anggota masyarakat yang berada pada kelas elit kerana kelebihan yang ada pada mereka dan sekali gus mempunyai identiti yang bertanggungjawab intelektual, sosial dan moral.

Dengan adanya ilmu, seseorang itu boleh mencipta inovasi baru dalam pelbagai bidang kehidupan mahasiswa hari ini. Ciptaan baharu yang berupa inovasi itu akan memberikan kemudahan kepada kehidupan seharian mahasiswa. Sebagai buktinya, banyak inovasi baharu yang dicipta pada masa ini, contohnya telefon bimbit, komputer riba dan pelbagai alat yang canggih selain daripada belajar di dalam kelas. Hal ini sudah tentu memerlukan ilmu dan kemahiran yang tinggi dalam teknologi. Jadi, pada masa yang akan datang sudah pasti budaya yang mementingkan ilmu dalam pelbagai bidang akan menguasai budaya mahasiswa yang belajar di KIAS.

Ilmu yang dimiliki juga membolehkan kita menguasai dalam bidang perniagaan yang semakin kompleks dan bercorak global. Perkara ini demikian kerana, dalam era globalisasi, ekonomi merupakan trend baru dalam perniagaan sebab itulah mahasiswa yang mempunyai banyak ilmu dapat memajukan dalam semua pelbagai selain perniagaan. Oleh itu,  jika seseorang mahasiswa tidak dapat mengikut arus sudah pasti tidak kita tidak akan ketinggalan zaman iaitu, seperti katak di bawah tempurung dan pastinya akan gagal untuk memajukan diri dalam sesuatu perkara selain daripada perniagaan. 

Pentingnya ilmu di dalam kehidupan kerana ia suatu hakikat yang tidak dapat dinafikan, lebih-lebih lagi dalam usaha untuk menjadikan mahasiswa KIAS yang berilmu dan berinformasi. Bagi orang Islam terutamanya mahasiswa KIAS yang bakal mengisi kepimpinan negara masa depan, jenis ilmu yang wajar dipelajari adalah yang mampu membentuk satu pandangan hidup yang sempurna, progresif dan dinamik. Setiap cabang ilmu perlulah diisi dengan semangat dan roh keagamaan, akhlak atau nilai murni dan moral supaya terasa kesannya di dalam jiwa.

Di dalam konteks budaya ilmu yang bertunjangkan Islam di KIAS, penuntutan ilmu tidak disempitkan dengan hanya penumpuan kepada satu cabang ilmu semata, tetapi mahasiswa KIAS digalakkan dengan kebebasan untuk menuntut ilmu tanpa sempadan dan akhirnya boleh menyumbang kepada kejayaan. Dalam realiti semasa, mahasiswa KIAS harus digesa untuk meningkatkan kualiti, terutamanya daripada aspek membudayakan ilmu agar martabat dan warisan keilmuan mahasiswa KIAS itu sendiri tidak luput di telan zaman.

Jika seseorang itu menguasai ilmu sudah pastilah dia akan dapat memajukan diri dan dapat menaikkan nama KIAS dengan ilmu yang luas dan berguna. Hal ini demikian kerana dalam negara kita memerlukan mahasiswa yang berilmu untuk dijadikan pemimpin yang berilmu pengetahuan tinggi selaras dengan era globalisasi pada masa ini. Seseorang mahasiswa yang berilmu akan membawa perubahan yang positif untuk kemajuan di IPT lain serta rakyat dan negara dengan ilmu berguna yang dipelajari. Jika mahasiswa tidak dapat menguasai ilmu, sudah pastilah KIAS kita akan tertinggal di belakang IPT maju yang lain. Jadi, seperti kata pepatah, “Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih”, para mahasiswa juga perlu menguasai pelbagai ilmu selain ilmu agama yang dipelajari di KIAS terutamanya ilmu teknologi maklumat dan komunikasi.

 KIAS ini dapat menguasai ilmu, sudah pasti hal ini akan melahirkan mahasiswa yang proaktif. Perkara ini demikian kerana, mahasiswa yang berilmu sentiasa berfikir secara positif dan optimis tentang sesuatu masalah dan tidak berfikir secara pesimis dan muda pula berputus asa. Sebagai contohnya, seseorang mahasiswa yang berfikir secara positif sudah tentu akan menjadikan masalah itu sebagai cabaran dan bukannya halangan untuk mencapai objektifnya. Oleh itu, kita hendaklah mengamalkan budaya yang sentiasa dahaga akan ilmu dan menjadikan budaya pembelajaran sepanjang hayat atau dipanggil dalam bahasa Inggeris seperti “life long learning” adalah sebagai amalan penting dalam kehidupan seseorang mahasiswa.

Oleh hal yang demikian, ungkapan orang yang menguasai ilmu  perlulah diberikan perhatian oleh semua mahasiswa. Dengan semua ungkapan itu, janganlah kita suka membuang masa kerana masa itu emas dan masa tidak akan menunggu kita. Sekiranya kita lalai dan tidak menggunakan masa dengan bijaksana, sudah tentu kita akan termasuk dalam golongan yang berada dalam kerugian.

Lantaran itu, dengan menguasai ilmu dalam pelbagai bahasa seseorang lebih mudah untuk memperoleh ilmu pengetahuan. Hal ini demikian kerana pelbagai ilmu pengetahuan yang ditulis dalam pelbagai bahasa, khususnya bahasa Inggeris dan bahasa Arab yang menjadi bahasa utama. Dengan memperoleh pelbagai ilmu pengetahuan seseorang itu akan lebih dihormati, dipandang tinggi serta tidak dianggap bagai katak di bawah tempurung. Sebagai contoh, untuk meningkatkan lagi pengetahuan dalam bidang agama Islam seseorang mahasiswa wajib mengusai bahasa Arab kerana ia merupakan bahasa kitab suci Al-Quran dan ilmu lain lebih mudah untuk membuat rujukan sama ada melalui buku-buku atau Internet. Kemahiran menguasai bahasa Inggeris misalnya, sering kali menjadi halangan kepada mahasiswa Bumiputera di IPT yang lain untuk menghasilkan kajian serta bahan ilmiah yang berkualiti. Tegasnya, memiliki kemahiran bahasa Inggeris amat perlu sejajar dengan usaha pihak atasan amat perlu sejajar dengan usaha membangunkan modal insan mahasiswa di KIAS ini.

Sehubungan itu, mahasiswa serta pihak KIAS harus menyediakan satu suasana yang membudayakan ilmu di kampus dengan menggalakkan pembacaan dalam kalangan pelajar serta menghargai kepentingan membaca demi menajamkan lagi kemahiran kognitif mahasiswa KIAS dalam memberikan idea dan membuat keputusan yang konkrit dalam kehidupan seharian dan kepimpinan pada masa yang akan datang.Justeru, tepuk dada tanya selera, adakah kita ingin menjadi mahasiswa yang hanya memahami bahasa ibunda atau mampu menguasai bahasa yang pastinya memberikan kelebihan kepada kita kelak nanti.

   

No comments:

Post a Comment

TEKNOLOGI KRISIS MAKANAN

1 .  FAKTOR YANG MENYUMBANG KEPADA KRISIS MAKANAN Pakar ekonomi dunia berpandangan bahawa masalah pertambahan penduduk di dunia yang ...